Filled Under:
Kisah Benar!!! Kerjaya aku sebagai JURURAWAT TERLETIH U29...
Posted By:
Unknown
on 21:50
Mula-mula aku isi borang nak jadi jururawat di #SPA8. Aku pada masa itu hanya ikut-ikut member saja. Kesudahannya, member yang beria-ria nak jadi jururawat, tak ada rezeki. Aku pula yang mendapat tawaran.
Punya degil tak nak jururawat, pergi sesi temuduga, aku pakai selipar. Dalam bilik temuduga, panel temuduga cuma tanya aku, "Tolong sebut jantung dalam English,". Dalam hati aku, "Itu saja yang dia tanya?".
Sebulan selepas itu, dapat surat yang tertulis di depannya, "Utusan Seri Paduka Baginda" (Surat tawaran kerja). Tajuknya, "Tawaran Mengikuti Latihan #Separa Perubatan Jururawat Terlatih U29".
Air mata menitik, bukan sebab gembira tetapi sebab tak sempat nak sorok surat, kantoi pula dengan ayah. Nak tak nak, aku kena pergi latihan ini juga. Boleh bayangkan tak yang aku ini jenis degil, gangster kuat bergaduh bagai ini nak jadi jururawat?
Minggu pertama masuk kolej, aku dah menangis sebab aku tak reti lukis gambar tulang. Memanglah tak reti, kat sekolah belajar akaun, itu pun akaun cukup makan. Ini pula kena belajar anatomi manusia. Alahai!
Dalam minat tak minat, tiga tahun itu semuanya berjalan dengan lancar. Aku lulus peperiksaan dengan berjaya. Serius! Aku sendiri pun tak sangka akan berjaya.
Bila sudah masuk kerja, barulah aku faham yang kerja jururawat itu bukan sekadar menjaga pesakit sahaja. Memang lain sangat dari zaman aku sebagai student. Jadi, aku diagnoskan kerjaya aku sebagai JURURAWAT TERLETIH U29. #Sebab apa aku cakap macam ini, semua kerja atas kepala, bahu, tangan dan
kaki kau. Mata kau pula kena ada depan belakang kiri dan kanan.
Allah akan beri kau bermacam-macam jenis pesakit. Ada yang menghiburkan hati, ada yang menyakitkan hati. Ada yang boleh buat kau tersentuh hati. Aku ingat lagi kalau dapat jaga budak-budak muda. Dalam kita sedang sibuk, mereka panggil.
"Misi! Misi! Nak air,"
Kita yang sedang sibuk ini pun berhenti dan memandang dia.
"Nak air apa?"
Dia dengan selambanya menjawab,
"I Love You Misi!"
katanya menyambung gelak terkekek-kekek.
"Jaga kau! Aku cucuk pakai jarum besar!"
Selamba aku jawab begitu.
Bila kau jadi jururawat, saham memang tinggi dan jodoh datang bertalu-talu. Makcik, pakcik semua berkenan nak buat kau jadi menantu. Kadang-kadang 10 kali relatif yang sama datang tanya kondisi pesakit, rupa-rupanya nak usha nama pada name tag. Selepas itu berjaya pula dapat nombor telefon jururawat.
Tetapi jururawat seperti inilah, bila sudah sibuk sampai terlupa nak senyum. Kadang-kadang jururawat tengah stress sebab tengah menahan kencing. Bila kau jadi jururawat, kau kena jadi dermawan sebab bila kita dapat pesakit yang tiada relatif, doktor minta mereka berpuasa untuk operation. Sampai tengah malam, operation cancel dan pesakit pun terkebil-kebil tak ada apa nak dimakan. Jururawat mesti tak sampai hati tengok.
Jururawat keluarkan duit sendiri, suruh PPK belikan nasi goreng, milo ais sebungkus untuk diberikan kepada pesakit. Bila tengok dia makan selepas itu tidur lena, jururawat pun senang hati. Tetapi jururawat diam saja, tak beritahu sesiapa.
Esok pagi, bila relatif sampai, jururawat adalah orang yang pertama kena sembur bila diberitahu bahawa operation dibatalkan.
"Apsal operation boleh cancel?!"
Jururawat diam lagi sebab apa? Sebab bila menjawab, jururawat akan terus dilabelkan sebagai kurang ajar.
Jururawat adalah orang yang selalu ada saat-saat pesakit nak menghembuskan nafas yang terakhir. Jururawat adalah orang yang akan ajar mengucap. Kadang-kadang jururawat juga boleh mengalirkan air mata bila tidak dapat menyelamatkan pesakit. Tetapi bila ayah sendiri yang meninggal, jururawat tiada di sisi, jururawat sedih tetapi tahu bahawa ayah mesti bangga anak dia menjadi jururawat yang selalu menolong orang setiap masa.
Bila tiba raya, jururawat selalu mejadi orang yang menjeruk rasa. Pagi raya datang kerja dengan hati sebak bila dengar takbir raya. Seminggu selepas raya baru dapat jejak kaki di kampung. Tetapi tak mengapa, jururawat faham memang inilah pengorbanan mereka. Nak bergaduh suami isteri nak balik berada di mana pun tak sempat. Kalau dapat cuti raya, terkejar ke sana ke sini sebab katanya cuti tidak obleh lebih dari 5 hari. Jururawat pendam dalam sabar.
Anak-anak membesar dan sayang pengasuh sahaja. Sebab selepas habis kerja, jururawat kena atend cme. Balik kerja pun bukannya boleh tepat-tepat pada waktu walaupun datang kerja awal pada waktu. Sebab itu kadang-kadang orang luar tengok jururawat kerjaaan ini semuanya garang seperti singa sebab ramai yang sudah hilang seri dan tidak manis seperti gula. Jururawat dah sarat dengan bebanan tugas yang tidak tergalas lagi. Jururawat hanya fikir untuk kerja seperti robot bagi memuaskan hati semua orang tanpa mempedulikan hati sendiri.
Jururawat ini bagi aku adalah orang yang paling kuat semangat dan boleh tahan maki serta tahan pekak. Katalah apa pun, muka jururawat tetap seposen saja sebab kami jururawat terletih itu yang sudah tidak terdaya dan tiada pilihan. Kerjaya kami boleh kutip pahala dan dosa sekelip mata dan inilah punca rezeki kami. Walau macam mana pun layanan yang kami terima, tetapi KAMI SEDIA MEMBANTU.
Aku bangga menjadi jururawat sebab tidak semua orang boleh menjadi seperti aku, boleh buat pekerjaan aku, boleh cuci najis orang yang tiada pertalian darah dengan aku. Kalau kau rasa kerja aku kotor, kau silap. Sebenarnya hati kau yang kotor. Kalau kau datang ke hospital semata-mata nak mencari salah silap jururawat, kau fikirlah masak-masak suatu hari nanti kau tak akan menyusahkan kami semua saat terlantar tak dapat berbuat apa-apa.
Sebelum datang ke saudi, aku juga jururawat kerajaan. Jadi hati aku pedih kalau ada yang berkata tidak baik kepada mereka kerana kau pernah merasa apa yang mereka lalui. Mereka juga adalah manusia biasa yang tidak sempurna sama juga seperti kamu yang diperbuat dari tanah yang akan dikembalikan kepada Maha Pencipta.
Aku selalu berpesan kepada diri, kurangkan angkuh dan #mendongak ke langit kerana suatu masa nanti kita tidak tahu siapa yang sudi menolong kita.
Ayah, pilihanmu untuk aku menjadi jururawat, barulah aku tahu kau mahu aku menjadi insan yang selalu bersyukur atas segala-galanya. Yang punya insan atas sesama makhluk yang mendidik rasa sabar aku dan boleh bangkit berkali-kali bila jatuh dan yang selalu ingatkan aku pada kematian. -