Filled Under:

Luahan Hati Sedih Anak Lelaki Mona Fendy Ini Pasti Membuatkan Anda Semua Menitiskan Air Mata...


$%Entah mengapa, secara tiba-tiba luahan seorang lelaki yang mendedahkan dirinya sebagai anak Mohd Affandi (suami Mona Fandey) hangat diperkatakan di media sosial.
Menurut sumber tertentu, luahan menyayat hati lelaki ini sebenarnya pernah disiarkan di akhbar Harian Metro pada tahun 2010.
Namun, ia kembali menjadi viral di media sosial untuk menyedarkan masyarakat Malaysia tentang keperitan yang dialami insan yang mempunyai hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey.
6g28ytH

Ikuti kisah anak tiri Mona Fandey yang tidak didedahkan identitinya ini…
SIAPA yang ingin dilahirkan sebagai anak pembunuh? Saya tidak minta dilahirkan sebagai anak Mohd Affandi, tetapi Tuhan sudah menentukan begitu. Saya tidak pernah menyesal dilahirkan ke dunia. Sebagai seorang Islam, saya terima takdir saya.
Yang menyedihkan ialah sikap masyarakat yang tidak faham. Mengapa saya turut dipersalahkan di atas perbuatan ayah dan ibu tiri saya? Adakah semua anak pembunuh turut menjadi pembunuh… penjahat?
Bukan sehari dua saya menghadapi tekanan masyarakat, tetapi sejak zaman kanak-kanak hingga sekarang. Saya diberhenti atau diminta berhenti empat pekerjaan dalam tempoh dua tahun lalu.
Malah, hasrat saya untuk bertunang juga tidak kesampaian apabila keluarga kekasih saya menentang hubungan kami apabila mengetahui saya ada hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey. Saya cukup tertekan kerana hubungan dengan kekasih sangat baik, walaupun dia tahu latar belakang keluarga saya.
Namun sebaik saja memaklumkan kepada keluarganya, mereka tidak dapat menerima saya dan meminta hubungan kami diputuskan.
Bayangkan perasaan ibu saya yang sudah membeli cincin dan memaklumkan kepada saudara-mara supaya bersiap sedia kerana akan menghantar rombongan peminangan, tetapi akhirnya terpaksa menebalkan muka memberitahu majlis itu tidak jadi.
Sebelum itu, ketika di kolej saya pernah bercinta dengan dua gadis, tetapi akhirnya terputus selepas mereka mengetahui saya anak Mohd Affandi dan Mona Fandey.
Derita saya bukan hanya dalam percintaan, malah sukan. Saya mewakili Kelantan dan kini Kuala Lumpur dalam acara taekwando. Dalam satu pertandingan, ada peserta mengundurkan diri dan tidak mahu berlawan dengan saya apabila mengetahui saya anak Mohd Affandi kerana bimbang saya membawa ilmu arwah ayah dan ibu tiri saya.
Betapa malu dan rasa terhinanya saya. Adakah mereka menganggap saya tiada kebolehan? Banyak lagi tekanan masyarakat yang cukup mengguris hati, tetapi apalah daya saya. Saya tidak mampu menemui semua orang dan menceritakan kesedihan dan kisah sebenar saya.
Inilah tujuan utama saya mendedahkan diri dan menceritakan kisah saya kepada umum. Saya bukan ingin mencari publisiti. Malah, saya bersedia menghadapi ‘serangan’ keluarga kerana yakin saudara-mara yang membaca kisah ini akan marahkan saya.
Bagaimanapun, saya cuma mahu keadilan. Saya mahu masyarakat faham dan tahu kisah sebenar dan tidak terus menyeksa saya di atas kesalahan yang saya tidak lakukan. Saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti insan lain yang mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri.
Terlalu berat rasanya untuk melangkah mengharungi kehidupan hari ini. Bayangkan kerana wajah saya mirip ayah, saya dipaksa makan pelbagai ubat oleh keluarga bertujuan mengemukkan diri supaya orang tidak cam yang saya anak Mohd Affandi.
Saya cuma mahu masyarakat tahu saya hanya membawa nama ayah, tetapi saya tidak pernah menjadi anak ayah. Saya tidak pernah mendapat kasih sayang ayah kerana arwah (Mohd Affandi) meninggalkan ibu ketika saya dalam kandungan.
Saya tidak pernah tahu siapa ayah saya sehingga saya berusia sembilan tahun apabila ibu memanggil saya dan memberitahu yang ayah saya masih hidup. Ketika itu pun saya hanya melihat wajah arwah di televisyen kerana didakwa atas tuduhan membunuh.
Berikutan terlalu gembira saya sebenarnya ada ayah, saya bercerita kepada rakan di sekolah bahawa Mohd Affandi itu ayah saya. Biasalah sebagai kanak-kanak, kita tidak dapat memikirkan baik dan buruknya.
Akhirnya saya menjadi mangsa cercaan dan yang paling saya tidak dapat bersabar apabila mereka menghina dan sindir saya dengan mengaitkan nama ayah saya.
Kata-kata yang paling saya tidak dapat dengar dan terima ialah “engkau nak jadi macam bapa engkau. Bapa engkau pembunuh.” Kata-kata itu menyebabkan saya menjadi ‘panas hati’ dan selalu bergaduh.
Sebab itu saya belajar taekawondo ketika berusia 12 tahun. Saya menjadikan gelanggang taekwondo sebagai tempat melepaskan geram dan perasaan marah hingga memperoleh tali pinggang hitam.
Kali pertama saya berjumpa arwah ayah di Penjara Kajang ketika berusia 16 tahun. Bukan seperti kanak-kanak dan remaja lain yang membesar dengan kasih sayang ayah mereka, bayangkan saya berjumpa ayah kandung buat kali pertama di penjara.
Sebaik saya memasuki bilik perjumpaan tahanan dengan waris dan mengangkat telefon, ayah memanggil nama saya. Saya terkejut kerana walaupun tidak pernah berjumpa, ayah mengenali saya.
Pada pertemuan itu, ayah hanya bertanya khabar dan perkembangan saya. Pesanan ayah saya ingat hingga ke hari ini iaitu supaya jangan setakat belajar taekwondo, belajar juga silat.
Selepas itu, saya sering mengutus surat kepada ayah dan pernah berjumpanya dua kali sebelum saya menerima berita ayah akan dihukum gantung keesokannya (2 November 2001). Sebenarnya keluarga saya mengetahui tarikh hukuman itu seminggu lebih awal, tetapi merahsiakannya dan hanya memaklumkan kepada saya pada hari terakhir.
Saya dan keluarga bertolak dari Pantai Cahaya Bulan (Kelantan) ke Penjara Kajang pada 1 November 2001. Seingat saya, kami bertolak menaiki empat kenderaan. Sejurus tiba pada hari sama, ayah mahu berjumpa saya bersendirian manakala yang lain tidak dibenarkan masuk.
Saya di dalam bilik selama tiga jam bersama ayah. Itu kali pertama kami bersentuhan kerana sebelum itu kami dipisahkan oleh dinding kaca dan hanya berbual menerusi telefon.
Saya masih ingat kata-kata ayah yang mengaku dia tidak bersalah. Menurutnya, dia tidak membunuh Datuk Mazlan (Idris), sebaliknya semua itu angkara Mona dan Juraimi Husin. Bagaimanapun, arwah berkata dia menerima takdirnya.
Saya difahamkan oleh petugas penjara, ayah berpuasa selama tiga tahun secara berterusan sehingga hari kematiannya.
Saya tidak tahu adakah ayah berpuasa kerana insaf di atas apa yang berlaku. Saya tidak berhak memberi pandangan dan andaian kerana itu antara ayah dan Allah SWT.
Yang pasti, ayah sudah menerima balasannya. Yang menghairankan ialah, mengapa masyarakat masih menghukum zuriatnya yang tidak tahu menahu mengenai kejadian (pembunuhan Mazlan) yang berlaku.
Kami semuanya tiga beradik (daripada zuriat Mohd Affandi). Abang saya berusia 27 tahun adalah anak hasil perkahwinan pertama manakala adik perempuan saya, Mazdiana, kini 18 tahun, adalah anak hasil perkongsian hidup dengan Mona.
Setiap kami mempunyai pengalaman sedih. Bagaimanapun, antara ketiga-tiga anak ayah, saya seorang yang berjaya disembunyikan daripada media hinggalah hari pengebumian ayah.
Sejak itu hidup saya berubah. Saya tidak tahu bila derita saya akan berakhir, tetapi saya tidak berhenti berdoa.
Kepada masyarakat yang membaca kisah saya, saya hanya berharap mereka faham, saya juga ciptaan Allah yang ingin melalui kehidupan dengan penuh ketenangan.
(Sedikit latar belakang kejadian untuk tatapan generasi muda:
Pada tahun 1993, negara ini telah digemparkan dengan satu kes pembunuhan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri di Pahang yakni Datuk Mazlan Idris.
Beliau dibunuh pada 13 Julai 1993 di sebuah rumah Kampung Peruas Ulu Dong, Raub. Pembunuhan itu amat ngeri di mana jasad Allahyarham telah dikerat-kerat 18 dan ditanam di sebuah rumah kosong di kampong berkenaan.
Setelah disiasat, 3 orang telah ditahan iaitu Mona Fendi, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi Hussin. Kesemua mereka telah dibicarakan dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 dah dihukum gantung pada tahun 2001.)
Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat masyarakat di luar sana agar tidak menghukum insan yang tidak bersalah.


---------------------------------------------------------------------------------------------

Mona Fandey: Kes pembunuhan paling ngeri dalam sejarah jenayah di Malaysia





Mohon maaf terlebih dahulu kepada mana-mana individu yang berkaitan, samada yang masih hidup ataupun yang telah mati. Kisah sedih dan sadis ini disiarkan hanya untuk berkongsi satu pengajaran dan pedoman, bukan tujuan untuk menghina atau mengaibkan mana-mana individu yang terlibat. Dengan izin.
  
Kisah benar ini telah berlaku 17 tahun lalu, dimana negara telah digemparkan dengan satu kes pembunuhan kejam dan sadis terhadap Datuk Mazlan, iaitu seorang ahli politik yang merangkap ADUN Batu Talam, Raub Pahang. Mayat mangsa ditemui 10 hari kemudian dan cara mangsa menemui ajalnya melampaui pemikiran batas manusia normal. Pembunuhan ini juga disifatkan tanpa peri kemanusiaan.

Motif pembunuhan semata-mata kerana tamakkan harta dan wang ringgit. satu pembunuhan paling ngeri melibatkan tokoh politik tanah air. Pembunuhan ahli politik itu telah dirancang dengan rapi dengan mengorek lubang di dalam stor untuk menanam mayat mangsa seminggu sebelum mangsa dibunuh. Mangsa dipercayai dibunuh antara jam 10 hingga 12 malam pada 2 julai 1993.

Pembunuhan berlaku ketika mangsa dipercayai semasa upacara mandi bunga bagi upacara kekebalan serta mengukuhkan kedudukannya dalam bidang politik. Upacara mandi bunga dijalankan dengan mangsa diarah berbaring di atas lantai di dalam bilik air untuk disiram. Mangsa kemudian diarah menutup mata dan diletakkan bunga dikedua-dua belah mata dengan tujuan mangsa tidak membuka matanya, dan diminta bersabar sehingga selesai upacara. Disebabkan percaya dan terlalu taksub kepada unsur-unsur spiritual mangsa menjadi korban.

Mangsa dibunuh dengan kejam, lehernya ditetak dengan kapak sebanyak 3 kali sehingga putus. Badan mangsa kemudian dikerat 18, sementara beberapa bahagian kulit dan dagingnya dilapah. Untuk melupuskan bukti, mayat mangsa dimasukkan ke dalam lubang sedalam 1.8 meter dan ditutup dengan lapisan simen.

Sebelum kejadian, Tertuduh kedua Affandi telah membawa mangsa ke kuala lumpur untuk mengeluarkan sejumlah wang yang besar di sebuah bank di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kes diketahui apabila Datuk mazalan telah hilang, tidak hadir dalam satu perjumpaan mensyuarat di Raub dan pihak polis mensyaki kemungkinan beliau telah dicolek. Menteri Besar Pahang ketika itu Datuk Khalil Yaacob dan Speaker DUN tidak tahu kemana perginya Datuk Mazlan. Satu laporan polis telah dibuat oleh ADUN Benta, Datuk Zuki Kamaludin pada 18 Julai 1993 setelah Datuk Mazlan telah beberapa kali tidak muncul dalam beberapa majlis rasmi di Pahang sejak 3 Julai 1993.

Bertindak diatas laporan itu pihak polis telah membuat siasatan terperinci dan pemeriksaan dibuat ke rumah separuh siap pasangan bomoh dan pembantu mereka yang sering dikunjungi oleh Datuk Mazlan. Pihak polis menemui seorang lelaki bernama Juraimi dan bertanyakan dimana Mona dan Affandi. Juraimi mengatakan mereka ke Kuala Lumpur. Juraimi ditahan untuk siasatan selanjutnya.

Siasatan awal mendapati mangsa dilihat memandu kereta bersama pasangan bomoh itu keluar dari kampung Hulu Dong, kemudian mangsa didapati hilang bersama kereta miliknya itu. Pihak polis membuat pengiklanan di akhbar dan salesman terbaca iklan itu dan memaklumkan kepada pihak polis. Siasatan polis mendapati kereta itu telahpun dijual di Pudu, Kuala Lumpur. Akibat kealpaan mereka menjual kereta itu, mensabitkan mereka dalam kes pembunuhan itu.

Lebih kurang dua minggu pihak polis menjalankan siasatan  dan akhirnya berjaya menahan pasangan bomoh itu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Dalam siasatan dijalankan Afendy memberitahu bahawa Datuk Mazlan telah tiada. Hasil maklumat itu  mengukuhkan lagi penglibatan ketiga-tiga mereka. Semasa di Lokap IPD Raub Affandi memberitahu kepada Juraimi… “Juraimi, semua dah bongkar… ceritalah sebenarnya”.

Juraimi kemudian membawa polis kepenemuan ngeri bahagian tubuh Mazlan yang dikeluarkan dari lubang yang bersimen dalam bilik stor dekat sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, daerah Raub, Pahang.

Semasa penyiasatan dijalankan, pistol kepunyaan Datuk Mazlan juga dijumpai berhampiran rumah tersebut. Turut ditemui 4 butir peluru dan kapak yang digunakan untuk menetak leher mangsa.

Kawasan sekitar Hulu Dong diselubungi suasana pilu berikutan kejadian pembunuhan wakil rakyat kesayangan ramai ketika itu, penduduk kampung tidak manjangka rumah yang sedang dalam pembinaan di atas tanah kepunyaan ahli politik dihujung kampung itu menjadi lokasi pembunuhan ngeri.

Tidak kurang sensasinya ialah gambar di akhbar-akhbar menunjukkan Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Khalil Yaakob, mengeluarkan kepala Mazlan dari lubang itu selepas polis menemuinya.

Kes perbicaraan awal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Raub, kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh. 20 September 1994 bermulalah perbicaraan kes ini di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang.  Mona Fendy 38. Muhamad Affandi Abdul Rahman 37, dan pembantu mereka Juraimi Hussin 24, dituduh di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan, dibacakan bersama Sesyen 34 kanun keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Perbicaraan ini diadili oleh 7 orang juri.

Perbicaraan diberitahu bagaimana pasangan bomoh itu telah merancang pembunuhan itu sebulan sebelumnya dan arahan kepada Juraimi beberapa hari sebelum pembunuhan itu antara lain ialah untuk mengasah kapak bagi memancung kepala Mazlan dan menggali lubang besar.

Affandi dan Mona juga mengasah sebilah pisau yang digunakan untuk memotong tubuh Mazlan kepada 18 bahagian.

Wang dikatakan sebagai motif pembunuhan itu. Beberapa jam sebelum Mazlan dikerat, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 di beberapa bank dengan alasan pasangan itu boleh menggandakan jumlah wang itu selepas Mazlan menjalani upacara ‘mandi bunga'.

Kisah di mahkamah mengenai pembunuhan itu sungguh menyeramkan - Mazlan disuruh baring sebelum Juraimi menetak lehernya dengan kapak selepas diberi jaminan oleh Affandi bahawa ‘duit yang banyak akan jatuh dari atap'.

Pihak pendakwa berhujah bahawa Mazlan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak bukan untuk tujuan memberikannya kepada penyokongnya tetapi kerana dia percaya kepada tipu helah ‘wang buat wang' pasangan itu kerana dia memerlukan wang yang banyak bagi tujuan politik.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa pada masa itu bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian UMNO.

Juraimi hanya diberikan RM180 bagi menanam mayat itu sebaik saja selepas pembunuhan oleh pasangan itu yang kemudian bergegas ke Kuala Lumpur dan bermalam di sebuah hotel.

Lapan jam selepas pembunuhan itu, Affandi dan Mona mula membeli-belah menggunakan wang Mazlan. Seawal 7.30 pagi keesokannya, mereka telah berada di bilik pameran kereta di Melaka untuk membeli sebuah kereta Mercedes Benz 280 walaupun kedai itu belum dibuka untuk perniagaan pada hari itu.

Sehari sahaja selepas pembunuhan itu, mereka membelanjakan lebih RM160,000 untuk membeli kereta, telefon bimbit dan barangan kemas.

Beberapa hari selepas itu, pasangan itu, yang digambarkan di mahkamah sebagai kesempitan wang sebelum pembunuhan itu, membelanjakan lebih RM20,000 bagi barang kemas dan perabot. Mona juga membayar RM13,000 untuk pembedahan plastik dua minggu selepas pembunuhan itu manakala suaminya menubuhkan beberapa syarikat.

Keseluruhannya, pasangan itu membelanjakan kira-kira RM300,000 dalam masa 10 hari membeli-belah sebelum penahanan mereka, satu jumlah yang sama dengan apa yang dikeluarkan oleh Mazlan dari akaun banknya.

Cerita yang diberitahu dalam pembelaan mereka juga tidak kurang sensasinya tetapi semua tidak dipercayai oleh hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.

Affandi, misalnya, memberitahu mahkamah bahawa Mazlan berhutang RM2.5 juta kepadanya sebagai pertukaran kepada tiga barang yang menurutnya pernah menjadi milik Allahyarham Presiden Sukarno - tongkat, tangkal dan songkok.

Lembaga Pengampunan Pahang turut menolak permohonan mereka untuk mendapat pengampunan diraja.

Perbicaraan ini diikuti dengan minat oleh segenap lapisan masyarakat. Sepanjang perbicaraan ini tertuduh menganggap seperti tiada apa yang berlaku, masih boleh lagi tersenyum dan berlawak terutama Mona. Dimasa Mahkamah berhenti rehat, Mona boleh lagi menyanyi. Terdapat percanggahan keterangan diantara mereka. Juraimi mengatakan Mona dan Affandi yang merancang pembunuhan ini, makala Mona dan Affandi pula mengatakan Juraimi hilang pertimbangan dan bertindak membunuh mangsa.

Pada 9 Februari 1995 Mahkamah mendapati ketiga-tiganya bersalah membunuh dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Mereka ditempatkan di Penjara Kajang dan berbagai cerita mesteri disebarkan sepanjang penahanan Mona Fendey selama 4 tahun.


Kronologi kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris

Perbicaraan selama 69 hari pada 1994 mendengar cerita sensasi berhubung ilmu hitam, wang dan politik.

Dilahirkan pada 1956, Maznah binti Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey, barasal dari Perlis. Pernah cuba menjadi penyanyi dengan menghasilkan album pertama, Diana 1 pada 1987. Ketika itulah beliau menggunakan nama komersial, Mona Fandey yang kekal popular kepada kita sehingga ke hari ini.

Ketidakupayaan Mona menyanyi dengan baik, menyebabkan beliau beralih arah kepada pengamal perubatan tradisional dan mempu hidup mewah. Kerjaya sebagai bomoh bersama suaminya menjadikan mereka hidup dalam kemewahan sehinggakan mereka mampu memiliki beberapa kereta mewah diantaranya Jaguar.

Mohd Noor Affendi Abdul Rahman adalah suami ke-3 Mona dan pernah menuntut ilmu persilatan di Indonesia

Pembunuhan dipercayai bermotif wang kerana beberapa jam sebelum Mazlan dibunuh, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 daripada beberapa bank dengan alasan boleh menggandakan jumlah itu selepas Mazlan mandi bunga?

Wang itu kemudian digunakan untuk membeli kereta Mercedes Benz 280 dengan harga RM125,000 dan telefon bimbit RM10,500 secara tunai. Mereka juga membeli barangan kemas berjumlah hampir RM40,000 selain peralatan elektrik dan perabot (RM20,000). Mona turut menjalani pembedahan plastik dengan kos lebih RM13,000 pada 15 Julai 1993.

13 Julai 1993: Juraimi ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki menagih dadah dan kemudian ditahan di Balai Polis Raub.

18 Julai 1993: Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan, satu laporan polis telah dibuat oleh ADUN Benta, Datuk Zuki Kamaludin.

19 Julai 1993: Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan. Juraimi dibawa polis ke rumah di Ulu Dong dan polis menemui pita video, album gambar, keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan.

20 Julai 1993: Kira-kira jam 11.45 malam, Mohd Affandi dan Mona ditahan di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

21 Julai 1993: Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub.

23 Julai 1993: Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub Pahang. Mayatnya yang dipotong 18 bahagian tertanam di bilik stor.

1 Ogos 1993: Rangka tiga beranak ditemui didua tempat di Terengganu, dikatakan dikerat dan ditanam. Modus operandinya hampir sama dengan pembunuhan Mazlan.

10 Ogos 1993: Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi, Mona dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita, Fatimah Mohamad, 32.

15 Ogos 1993: Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di kawasan bekas rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di Kampung Nelayan, Teluk Gong, Klang.

17 Ogos 1993: Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang.

26 Oktober 1993: Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Majistret Raub.

18 Disember 1993: Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh.

3 September 1994: Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris.

20 September 1994: Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Tinggi Temerloh. Juraimi, Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas tuduhan niat bersama membunuh Mazlan.

9 Februari 1995: Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohd Affandi, Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh Mazlan.

10 Februari 1995: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi yang didapati bersalah membunuh Datuk Mazlan, dihantar ke Penjara Kajang.

Antara 16 Februari 1995 hinga 20 Oktober 1997: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan.

24 Oktober 1997: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan mereka.

2 November 2001: 5.59 pagi, Mona Fandey, Mohd Affandi dan Juraimi digantung serentak di Penjara Kajang.

Mona dan suaminya, Affandi telah disemadikan diTanah Perkuburan Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang. Manakala pembantunya, Juraimi telah dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Selepas berkuburnya kisah Mona Fendy, akhirnya terbit beberapa buah buku yang menceritakan tentang Ilmu hitam yang digunakan oleh Mona Fendy dalam kehidupan beliau dan juga filem Dukun yang jalan ceritanya diadaptasi dari kisah Mona Fendey.