Filled Under:

Ku Nan - RM2.6 Bilion: Saya Dan Bendahari Umno Tahu


$%Mengakui maklum mengenai derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, isu berkenaan sudah berulang kali dijelaskan.

Tengku Adnan berkata, Bendahari Umno juga maklum berhubung transaksi berkenaan.

“Kami berulang kali telah menjelaskan isu berkenaan. Sebagai setiausaha agung, saya sedia maklum dan begitu juga bendahari parti,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Setiawangsa di sini, Ahad.

Dilaporkan, derma itu disalurkan individu dari negara Timur Tengah.

Tengku Adnan berkata, pembangkang dan badan bukan kerajaan seperti Bersih 4.0 sepatutnya mengisytiharkan sumber dana untuk menganjurkan demonstrasi seperti yang akan diadakan akhir bulan ini.

“Kita mahu tahu dari mana mereka mendapat dana.

“Mereka edarkan kemeja t kuning dan sepanduk semasa setiap demonstrasi.

“Rakyat berhak tahu dari mana sumber dana mereka, jadi tolong isytihar,” katanya.

Tengku Adnan mengulas rancangan Bersih untuk mengadakan demonstrasi pada 29 dan 30 Ogos ini di Dataran Merdeka.

Beliau mendakwa peserta program seumpama itu menerima wang tunai dalam bentuk mata wang asing.

“Saya nampak sendiri ketika perhimpunan Reformasi 1998, ada peserta yang memegang AS$50 selepas menyertainya.

“Sekarang kita nak tahu dari mana badan bukan kerajaan dan pembangkang terima dana,” katanya.

-mstar